KUALA LUMPUR: Sebanyak 50 unit rumah setinggan di Ladang Segambut di sini musnah dalam kebakaran hari ini, mengakibatkan 250 penghuni kehilangan tempat tinggal.
Penolong Kanan Penguasa Bomba Kuala Lumpur M.Letchumanan berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden kebakaran kira-kira 12.37 tengah hari itu kerana semua penghuni rumah terlibat sempat menyelamatkan diri.
"Kita masih siasat punca kebakaran dan jumlah kerugian," katanya kepada pemberita di tempat kejadian, sambil menambah api berjaya dikawal dalam tempoh setengah jam oleh 90 anggota dan lapan jentera bomba dari Balai Bomba sekitar Kuala Lumpur dan satu dari balai bomba Selayang.
Katanya anggota bomba mengalami kesukaran mendapatkan bekalan air akibat tiada pili bomba dan terpaksa menggunakan bekalan air sungai di kawasan berhampiran.
"Walaupun terdapat sumber air dari sebuah kolam namun paras air yang terlalu rendah menyebabkan bomba sukar untuk mendapatkan bekalan air itu," katanya. - Bernama