Gambar Hiasan
CHANGLUN: Seorang anak sanggup mengorbankan masa depannya apabila berhenti sekolah semata-mata mahu menjaga ibunya yang terlantar sakit akibat lumpuh sejak tiga tahun lalu, manakala bapanya pula menghidap penyakit buah pinggang kira-kira lima tahun lalu.
Shahril Amri Shahbudin, 16, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun di sini, mengambil keputusan meninggalkan alam persekolahan atas rasa kasih sayang terhadap kedua orang tuanya sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, dia nekad mengambil tindakan itu bagi membolehkannya menjaga ibunya, Ropiah Mat, 55, serta bapanya, Shahbudin Darus, 57. “Saya mengambil keputusan itu kerana bersimpati melihat ayah yang sebelum ini menjaga ibu saya yang memerlukan penjagaan rapi, sedangkan ayah juga memerlukan masa untuk berehat kerana penyakit buah pinggang yang dialaminya,” katanya.