KUALA LUMPUR: Seorang pemandu nyaris maut selepas kren menghantar barang terjatuh menghempap empat kereta termasuk belakang keretanya dalam kejadian di Jalan Binjai Off Jalan Ampang, di sini, semalam.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai, Eric, 50, berkata ketika memandu sendirian berhampiran tempat kejadian, dia mendengar bunyi kuat dan melihat objek jatuh.
“Jatuhan pertama terkena sebuah kereta lain dan saya sempat mengelak, namun jatuhan besi kedua terkena tengah-tengah kereta saya.
“Akibat kejadian itu, kereta saya rosak teruk, namun bersyukur kerana tidak cedera,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, selepas kejadian itu, dia keluar menyelamatkan diri dan meninggalkan kereta di kawasan kejadian.
Seorang saksi yang juga pengawal keselamatan sebuah hotel berdekatan, Mohamad Noor Ibrahim, 50, berkata ketika menjalankan tugas di depan hotel, dia dikejutkan dengan bunyi kuat berserta jatuhan objek besi menghempap beberapa kereta.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, jatuhan kren itu menyebabkan empat kereta rosak teruk termasuk sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki.
“Kami masih menyiasat punca kejadian dan ketinggian jatuhan kren itu,” katanya.
Akibat kejadian itu, jalan di kawasan terbabit ditutup beberapa jam untuk proses pembersihan dan dibuka semula jam 5 petang bagi mengelakkan kesesakan.
Sumber: fb bomba kl / hmetro