Jacqueline juara dunia !!

    Author: Alamak Genre: »
    Rating

    JAGOAN BARU...Jacqueline bersama pingat emas acara perseorangan Kejohanan Bowling Wanita Dunia di Hong Kong, semalam. 

    PEMAIN rookie Malaysia, Jacqueline Sijore mencatat sejarah apabila melakar kemenangan menakjubkan dengan memenangi pingat emas acara perseorangan pada Kejohanan Bowling Wanita Dunia di Hong Kong, semalam.

    Pemain bowling remaja berasal dari Sarawak itu tidak menampakkan pengalaman menjadi penghalang apabila menenggelamkan cabaran pemain bertaraf dunia dari Korea Selatan, Son Yun Hee pada perlawanan akhir 266-217 untuk merangkul pingat emas.


    Yun Hee memulakan saingan dengan strike pada frame pertama ketika Jacqueline, 19, hanya sekadar melakukan sembilan jatuhan dan spare. Begitupun Yun Hee membenam tiga strike berturut-turut sebelum menamatkan lima frame pertama sebagai pendahulu.

    Namun, selepas berbincang dan mendapat nasihat ketua jurulatih Holloway Cheah, Jacqueline mula memberi tekanan kepada lawannya dengan mencatat lapan strike berturut-turut sebelum menjatuhkan enam pin bonus. Catatan 266 jatuhan pin cukup untuk mengesahkannya sebagai juara perseorangan wanita dunia, mengalahkan Yun Hee yang merekodkan 217 jatuhan.

    “Saya tidak mampu berkata apa-apa. Amat terkejut kerana berjaya muncul juara dunia sepantas ini.

    “Memang saya bermain dengan baik terutamanya hasil bimbingan jurulatih, Holloway. Beliau membimbing saya melakukan balingan yang betul di setiap lorong dan segala-galanya menjadi sebaik saya menghayunkan tangan,” kata Jacqueline.

    Pada separuh akhir, Jacqueline menewaskan pemain Singapura, Shayna Ng 246-214 manakala Yun Hee menundukkan Mai Ginge Jensen dari Denmark 279-268.

    Shayna dan Mai Ginge masing-masing menerima pingat gangsa.



    Hanya empat pemain terbaik selepas kedudukan terakhir diketahui menerusi tiga skuad layak ke separuh akhir.

    Sebelum separuh akhir dan akhir, pemain negara Zandra Aziela Ibrahim Hakimi dan Zatil Iman Abdul Ghani melakukan balingan dalam skuad ketiga dan terakhir semalam.

    Selepas keputusan tiga skuad itu disatukan, Jacqueline menduduki tangga keempat manakala Zandra Aziela (14), Zatil Iman (19), Esther Cheah (46), Sharon Koh (62) dan Sin Li Jane (92).

    Hari ini, Jacqueline akan turun sekali lagi dalam acara beregu bergandingan dengan Li Jane. Turut beraksi dua lagi pasangan Sharon-Zatil Iman dan Esther-Zandra Aziela.




    Oleh Mohd Hilmie Hussin
    mohdhilmie@hmetro.com.my

    Jumlah Pelawat